Font Size

Profile

Layout

Direction

Menu Style

Cpanel

Islam dan Teknologi

  • PDF

Dari segi definasi teknologi ianya membawa maksud “aktiviti atau kajian yg menggunakan pengetahuan sains utk tujuan praktis dlm industri, pertanian, perubatan, perniagaan, dll, sains gunaan” sementara islam adalah “tunduk dan patuh pd perintah Allah” kedua-dua istilah itu di rujuk pada kamus dewan bahasa dan pustaka.

rujukan dari http://unity99.tripod.com/tekno.html

Teknologi adalah perkataan yang berasal dari barat dan membawa maksud aplikasi Sains secara praktikal atau mekanikal terhadap industri atau kehidupan. Walaubagaimanapun teknologi atau ciptaan alat-alat teknologi telah sekaligus dikaitkan dengan tamadun barat sehinggakan umat Islam telah terterap di dalam pemikiran mereka bahawa teknologi dan permodenan bererti penerapan nilai-nilai barat berserta cara hidupnya.

Ini dapat kita memperhatikan sendiri bagaimana negara-negara Muslim berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf pencapaian teknologi masing-masing seperti teknologi nuklear di Pakistan dan cyberjaya di Malaysia dan sebagainya tanpa benar-benar memahami apakah tujuan teknologi tersebut. Perbahasan tentang teknologi dan permodenan sering kali di kaitkan dengan idea-idea seperti demokrasi, kebebasan hidup (freedom) dan free-market ekonomi hinggakan kita sering mendengar ucapan-ucapan seperti “untuk menjadi sebuah negara maju dan berteknologi, kita perlu berdemokrasi.”

Maka, teknologi dan tamadun terutama sekali tamadun barat sering disatukan dan seakan-akan tidak boleh dipisahkan lagi. Ini menimbulkan suatu kekeliruan di dalam pemikiran umat Islam tentang soal teknologi dan Islam. Jika teknologi bererti tamadun dan nilai-nilai barat ataupun tamadun barat berserta nilai-nilainyalah yang menghasilkan teknologi maka, bolehkah umat Islam menerima dan mengambil teknologi? Ini mengakibatkan umat Islam berpecah kepada dua kumpulan iaitu, kumpulan pertama yang berpendapat bahawa umat Islam perlu maju dan mengikut arus perubahan maka, kita perlu berteknologi dan sekaligus memeluk cara hidup barat berserta idea-ideanya dan idea-idea barat tidak bertentangan dengan Islam. Kumpulan yang kedua pula berpendapat bahawa idea-idea barat memang bertentangan dengan Islam, oleh kerana itu segala apa yang datangnya daripada barat adalah salah dan bid’ah termasuk teknologinya.

Jika kita mendalami persoalan ini, kita akan melihat bahawa kedua-dua pendapat ini adalah bertentangan dengan realiti yang sebenarnya. Ini ialah kerana teknologi dan tamadun/ nilai-nilai barat bukanlah dua perkara dalam satu yang tidak boleh diasingkan lagi malah, kedua-duanya merupakan perkara yang berasingan. Teknologi merupakan ciptaan barang-barang material dan fizikal yang tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu tamadun, dalam kata lain ianya adalah madaniyyah (bahan material civilization) yang bersifat universal contohnya alat-alat dapur seperti gas cooker, microwave ataupun alat-alat komputer, televisyen, mesin jenerator dan alat-alat perang seperti kereta kebal, roket dan sebagainya. Semua alat-alat tersebut adalah ciptaan fizikal yang tidak terikat kepada mana-mana tamadun. Ini jelas sekali kerana tiada sesiapapun yang boleh mengaku bahawa sebuah microwave adalah terikat kepada tamadun barat atau menjadi lambang cara hidup barat. Ini berbeza dengan alat-alat materi seperti lambang salib yang sememangnya terikat kepada idea Kristianiti ataupun patung-patung yang terikat kepada kebebasan menunjuk aurat seperti patung-patung ukiran zaman renaissance.
Umat Islam perlu membezakan di antara teknologi (madaniyyah) yang dicipta oleh ahli sains dan teknologi barat dengan tamadun barat itu sendiri. Ini ialah kerana tamadun barat bukan sekadar pencapaian teknologi dan ciptaan alat-alat materi tetapi tamadun (hadarah) barat bererti nilai-nilai atau idea-idea yang datangnya dari pemikiran, cara hidup dan ideologi barat, kapitalisme. Maka, idea-idea seperti demokrasi (iaitu manusialah yang berhak mencipta hukuman), women’s liberation dan freedom semuanya berasal dari tamadun/ hadarah barat yang bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai Islam. Jika perbezaan ini tidak difahami oleh umat Islam, maka ianya akan membawa kesan buruk terhadap kehidupan umat Islam malah, seluruh manusia yang menganuti hadarah barat sebagaimana yang kita perhatikan di negara-negara barat itu sendiri.

Teknologi perlu difahami sebagai bahan-bahan material yang bersifat universal dan boleh dicipta dan digunakan oleh sesiapa sahaja sama ada Islam atau kafir tetapi apa yang penting ialah tujuan kegunaannya dan tujuan penciptaannya yang ditentukan oleh idea-idea yang dipegang oleh sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, komputer merupakan alat teknologi yang tidak ada baik atau buruknya dan tidak terikat kepada mana-mana tamadun tetapi ianya boleh digunakan untuk perkara-perkara sumbang seperti ponorgraphy akibat daripada idea barat seperti ‘freedom’ dan keghairahan nafsu sebaliknya komputer boleh pula digunakan untuk jalan berda’wah dan menyampaikan risalah Islam. Contoh lainnya seperti kegunaan teknologi dalam perang, alat-alat perang boleh digunakan untuk membunuh rakyat sesebuah negara mengikut idea-idea koloniasasi atau nasionalisme hinggakan kita lihat bagaimana umat Islam berperang sesama sendiri ataupun ianya boleh digunakan dalam berjihad iaitu berperang untuk menegakkan Islam sebagaimana yang disarankan di dalam Al Qur’an di dalam surah 8:60

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (An Anfal:60)

Di dalam Islam, memang tidak ada kekeliruan tentang kedudukan teknologi atau ciptaan barang-barang material. Ini dapat kita saksikan sendiri di zaman Rasullullah s.a.w dan khilafah Islam setelah zaman baginda. Rasullullah s.a.w pernah mengambil teknologi perang Persia semasa Perang Khandak di mana beliau berserta sahabah menggali parit mengelilingi kota Medina sebagai benteng pertahanan. Kita juga melihat ciptaan meriam pertama di zaman Khalifah Muhammad Al Fatih sewaktu penaklukan kota Constantinople. Malah Sains dan Teknologi merupakan bidang yang amat maju di zaman Khilafah Islam. AlQur’an banyak menyarankan supaya umat Islam bergiat menggunakan segala ciptaan Allah s.w.t untuk kegunaan mereka di dalam kehidupan seharian. Allah s.w.t berfirman

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? " (Luqman:20 )
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)". (Ibrahim: 32)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. (Al- A'raaf:32)

Ini sekaligus membantah pendapat sesetengah orang yang menyangkakan bahawa Islam itu ‘kuno’ dan tamadun Islam serta cara hidup Islam bererti tamadun unta. Walaubagaimanapun ianya amat penting bagi umat Islam supaya memahami bahawa kegunaan alat-alat teknologi tersebut adalah tertakluk kepada Syariah dan hukum Islam. Tujuan ciptaan dan kegunaan alat-alat material mestilah berasal dan mengikut hadarah (idea-idea) Islam dan objektif Islam. Ini ialah kerana Islam mempunyai idea-idea tersendiri yang bertentangan dengan hadarah barat. Ini juga memberi erti bahawa ukuran sesebuah negara maju bukanlah tertakluk kepada pencapaian teknologinya. Sebagai contoh, kita boleh katakan bahawa Iraq merupakan sebuah negara berteknologi hinggakan mampu mencipta ‘biological weapon’ tetapi ianya bukan sebuah negara maju sama dengan negara-negara Muslim yang lain seperti Pakistan, Malaysia dan Saudi Arabia. Kita juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa disebabkan teknologi berasal daripada negara-negara barat, maka kita perlu meniru cara hidup barat dan ideologinya untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi. Kita perlu mengingati sejarah bahawa negara Khilafah Islam merupakan negara yang termaju malah merupakan sebuah ‘superpower’ semenjak zaman Rasullullah s.a.w hinggakan zaman Khilafah Uthmaniyyah di Turki. Oleh itu, umat Islam tidak boleh lagi memegang kepada prinsip bahawa teknologi serta tamadun barat adalah merupakan suatu pakatan hinggakan umat Islam perlu meniru tamadun barat untuk mencapai kemajuan. Tamadun apa sekalipun sama ada barat ataupun timur yang bertentangan dengan hadarah Islam perlu dihapuskan dari pemikiran dan hati umat Islam. Sebaliknya kita perlu kembali kepada hadarah Islam di dalam pemikiran, perbuatan, perasaan serta struktur masyarakat kita.

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imran:85)

Sumber : http://ptdbnet.ukm.my/bpr2/index.php?option=com_content&view=article&id=5&Itemid=6

Last Updated on Tuesday, 08 June 2010 12:37

You are here